Friday, April 22, 2011

SANG DAI'E YANG BERTATIH...



Kesamaran mentari yang menyinar pagi, memecah mulus mega yang berarak di tanah kegersangan kekuatan dalam diri seorang dai’e. Seorang dai’e yang berjalan di tanah berdebu, mengalir air mata bersendirian, menangisi kemasyalatan ummah yang tak mungkin mampu ditanggung bersendirian. Apatah lagi sahabat dahulunya seiring dan sekata kini beralih angin, menjadi bayu yang dingin membaluti tubuh sang dai’e yang lelah. Segenggam tabah dipertahankan agar menjadi bekalan sepanjang perjuangan. Setiap onak yang berduri yang ditempuhi, setiap lurah dan lembah yang dilalui menjadi cetera kehidupannya.

Dikala bersendirian mencari kekuatan menghirup seteguk nafas, ikhwah yang setia pasti bertandang meniup semangat perjuangan yang belum selesai. Tapi semangat-semangat itu kekadang mungkin bisa terluntur ditengah jalan dek kerana nista pejuang bertalam dua. Sang dai’e fikir mungkin sudah ketemu sahabat seperjuangan menegakkan syiar dikala luar perantauan . Tapi malangnya hanya menangguk di air yang keruh. Sesekali rebah dalam lompang yang berlumpur. Terpalit penderitaan sendirian, sang dai’e bangun walaupun sukar menghela nafas ketenangan. Setiap kali keluarnya bermujahadah pasti pulangnya dengan palitan debu kesengsaraan yang membungkam jiwa. Air pancutan menyimbah tubuh diri sang dai’e, mengalir lesu menghilangkan noda di hatinya. Tangannya terketar-ketar membuka kitab kalamullah, mencari kekuatan meneruskan perjuangan yang belum selesai.

Sesekali, dia terpandang pada sahabatnya tanda mohon simpati akan nasib diri. Sang dai’e sedar bahawa berharap pada manusia tiada gunanya kerana segala miliki yang hak adalah ALLAH semata-mata. Sahabatnya belum pasti dapat membantunya dalam perjuangan ini. kerana sahabat itulah pejuang dua talam. Matanya berkaca memohon ALLAH memberi jalan padanya dan sahabatnya. Setiap kalam doanya adalah bermohon kepada yang ESA agar memberi kekuatan padanya seterusnya menyedarkan sahabatnya tentang perjuangan yang belum selesai. Sesekali dia terkesima, mengalir air mata sendirian kerana derita yang ditanggung. Bertatihlah sendirian di alam maya mencari secebis kekuatan daripada ikhwah yang berada jauh di mata tapi dekat dihatinya. Sesekali terteguk air liur membasahi tekaknya yang dahagakan kekuatan perjuangan.

Alhamdulillah, kekuatan yang dicari ketemu jua, segala diskusi dilakukan dengan teliti agar tiada yang tersilap langkah dalam membina jati diri insan. Secupak kekuatan segantang kudrat, sang dai’e terus menggagahi diri mengharungi waktu-waktu yang bergolak. Syukur pada ALLAH, menghantar seorang sahabat jauh dari selatan tanah air, menghulur tangan kasih bersaudara. Sahabat itu telah memberi nafas inspirasi pada sang dai’e yang bertatih agar terus berjalan, berjalan dan terus berjalan sehingga boleh berlari menggapai halawatul iman. Sang dai’e sedar dan hembuskan nafas kekuatan dalam catatan buat sahabatnya yang mungkin tersadung ditengah jalan.

Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha penyayang, Nabi Muhammad ialah pesuruh ALLAH. Dengan lafaz ‘bismillah…’ ku pohon bacalah sehingga akhirnya. Semoga ALLAH merahmatimu.

Assalamua’laikum

Salam sayang dan kasih kuhulurkan buat sahabat yang disayangi, ku tahu bahawa diri ini adalah insan yang tidak sempurna. Diri ini penuh dengan cacat dan cela yang mungkin zahirnya sempurna tetapi diri ini sedar banyak yang tempang. Diriku mungkin kalian menganggap aku ni seorang manusia yang pelik dan mungkin pemikiran kita kekadang seperti menongkah arus. Mungkin juga tika waktu kita sehaluan memberi pendapat. Walaupuin kekadang gelora kehidupan merempuh menyakitkan hatiku, Namun hatiku tetap mencintai dan menyayangi dirimu kerana ALLAH. Wahai sahabat yang ku sayang. Bingkisan kalam ku tulis padamu wahai sahabat adalah kata-kata hati kecilku.

Aku yakin kau sedar apa yang aku sedang lakukan. Ku tahu kau banyak merahsiakan ceritamu daripadaku, aku sedar aku bukannya seorang sahabat yang baik kerana seringkali menyusahkan dirimu, aku amat sedar bahawa aku juga bukannya seorang penolong yang baik di saat kau dalam kesusahan, mungkin aku saja yang bertepuk sebelah tangan mengankat kau sebagai seorang sahabat yang ku kasihi. Tetapi apakah kau seringkali mengangkatku sebagai sahabat yang baik disisimu. Kita amat berbeza, tetapi akan ku cuba mencari persamaan, semakin ku cuba mencari haluan yang sama denganmu. Aku semakin sedar bahawa perbezaan inilah melengkapkan diri kita antara satu sama lain.

Andai rasulullah berada disisiku, akan ku tangisi nasib ini. kekadang aku seperti kebodohan kerana mengangap engkau adalah sahabatku yang terbaik. Segala bakti ku curahkan kerana aku telah beriman kepada rasulullah. Rasulullah telah berpesan, orang islam adalah bersaudara. Sayangilah saudaramu seperti mana kamu menyanyangi dirimu. Aku amat mencintai diri ini. apakah salah tindakan diriku kepada dirimu. Atau aku tersalah langkah dan anggap pada dirimu wahai sahabat.

Dahulu aku selalu berkumpul dengan para ilmuan yang datang dari seluruh pelusuk tanah air. Mereka musafir di negeri orang. Merekalah ahli usrahku yang ku kasihi. Kau tidak meminta aku berkorban walaupun setitik peluh, tapi tetapi aku dengan rasa tanggungjawab mengorban diriku untuk membantumu ya sahabatku. Aku cuba menghulurkan tangan dan buhul persahabatan. Kekadang kau tidak menyambutnya. Kekadang kau cuba rentap buhul yang ku hulurkan . aku tidak kuat wahai sahabat. Setiap rentapan pasti akan menarik ku jatuh ke lembah yang sama. Ku cuba daki. Aku mengajak kau sahabat. Tapi kau tidak hiraukan aku. Sakit rentapan berbekam di hatiku. Kekadang aku terpinga-pinga apakah tindakan ku ini sia-sia. Wahai sahabatku. Apakah aku ini hina. Sehinga tidak layak bersahabat denganmu. Dan adakah aku tidak punya ruang di atas muka bumi ini untuk melihat kita sama-sama merasakan halawatul iman.

Katakan kepadaku. Wahai sahabat apakah aku tidak cukup baik menjadi sahabat kepadamu. Apakah kesalahan aku kepadamu, apakah aku telah melukai dirimu. Dengan lafaz wallahi, watauallahi wabillahi katakan kepadaku dengan jujur. Sayangku sahabat, setiap kali pemergian kau atau berpisahnya kita buat seketika, ku iringkan doa qudus buat dirimu, janganlah kau tersalah langkah. Janganlah kau tersalah langkah. Sesungguhnya telah sampai ilmu-ilmu berkaitan dengan kehidupan islami kepadamu. Mengapa engkau tidak amalkan. Dan mengapa kau tidak sampaikan kepada ku jua. Dengan titsan air mata, janganlah kau sia-siakannya. Demi ALLAH, sedarlah sahabatku, sikapmu bisa mengguris perasaan insan yang lain. Kau pernah lafazkan kata-katamu yang tidak mahu guris perasaan insan yang lain sedangkan perbuatanmu sedang menoreh jiwa seorang sahabat yang amat mengasihi padamu.

Saidina Ali pernah menyatakan”selemah-lemah manusia ialah yang tak dapat mencari sahabat dan yang lebih lemah ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah di cari…”. Sahabatku, perjuangan ku tidak akan putus kerana diikat dengan rantai iman, mujahid tidak akan keseorangan kerana diikat dengan rantai ukhuwah, istiqamah dalam perjuangan bukti keimanan, insyaALLAH ukhuwah yang terbina akan kekal selamanya kerana bertunjangkan ALLAH S.W.T. uhibbukum fillah.insyaALLAH. sahabatku andai engkau melihat seseorang yang berbudi luhur, berusahalah untuk menyamai kebaikkannya dan kalau engkau bertemu dengan seseorang yang berbudi rendah, periksalah dirimu sendiri. Mungkin diri ini juga perlu muhasabah kembali dengan harapan ALLAH memberi kekuatan untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Sahabatku, pertemuan kita sudah ditakdirkan, antara kita tidak pernah dirancangkan. Manalah takdir yang hendak dilawan kerana semuanya adalah ketentuan tuhan. Mungkin ini adalah coretan kenangan kita bersama yang telah kita lalui, suka dan duka memburu impian atau kejayaan dunia dan akhirat. Moga ikatan kita semakin teguh berpasakkan kesetiaan. Sahabat yang ku kasihi, susah senang kau disisiku. Daku ucapkan terima kasih dan juga ingin memohon maaf kerana tidak dapat bersamamu dalam susah dan senang. Aku mengerti perkataan ‘maaf’ tidak dapat mengungkapkan segala-galanya. Tapi itulah yang termampu untuk ku ucapkan padamu sebagai seorang insan yang amat kikir di sisi ALLAH.

Sahabatku, kehadiranmu di sisiku sedikit sebanyak mengubat rasa sedih, sepi dan resah dalam hidupku. Kekadang kau menghilang dari pandangan mataku, ku ingin kau tahu kau tetap dalam doa di hatiku. ALLAHAMDULILLAH, ku rasa amat bertuah punya sahabat sepertimu kerana banyak menguji diri ini. terima kasih kerana disaat ku pinta nasihat dan pendapatmu, kau sudi membimbing dan menasihatiku. Hanya satu dalam seribu yang mampu membuat seperti mana kau lakukan terhadap diriku. Sahabat ku gelintar dalam kabut silaturahim, izinkan ku telusuri tali silaturahim sehingga ku lihat segala hikmah antara kita berdua. Apabila kabut berlalu ku sedar akan kelemahan diriku. Sahabatku, kekuatan hati akan terbina dengan lima perkara. Yang pertama, baca AL-QUR’AN DAN MAKNANYA, yang kedua, SOLAT MALAM DILAKUKAN, yang ketiga BERKUMPULLAH DENGAN ORANG YANG SOLEH, yang keempat, BERBANYAKLAH BERPUASA, dan yang kelima, ZIKIR DI PANJANGKAN. Ku sedar segala kelemahanku bila ku tenung kembali ubat hati. Kini ku jarang berkumpul dengan orang yang soleh dan puasa sunat. Ku sedar kelemahan ku ini boleh merosakkan diri. Semoga kita sama-sama mendapat hidayah dan taufik daripada ALLAH SWT.

Daku pasti diri ini bukannya tempatmu berkongsi cerita kerana ada orang yang lebih baik pendengaran daripadaku, namun demikian aku akan bermujahadah bersangka baik kepada kalian kerana itu amanat rasul. Sahabatku yang amat ku kasihi cukup setakat disini sahaja nukilan mahabbah buatmu. Semoga ALLAH berikan pengampunan kepada kita semua dan tunjukkan jalan-jalan kebenaran. insyaALLAH.

oleh : tinta zamrud



p/s : sejauh manakah kita menghargai sahabat yang ada dekat dengan kita, adakah kita sedar akan kehadiran seorang sahabat... disaat dia di sisi adakah kita pernah ucapkan kata sayang kerana ALLAH... saidina ali berkata : sesungguhnya amat lemah seseorang itu jika tiada seorang sahabat , tapi lagi lemah dan teruk ialah seseorang yang ada sahabat tetapi mensia-siakan sahabatnya....